SEKILAS PANDANG

Pada awal penubuhan USIM (yang dahulunya dikenali sebagai KUIM) pada tahun 1999, pastinya mempunyai cabaran yang amat besar. Sebagai IPTA ke-12 negara dan merupakan Kolej Universiti (KU) Awam diwujudkan oleh Kerajaan pada ketika itu, Universiti ini menempuh fasa pengasasan yang mencabar kerana mempunyai limitasi kewangan dan sumber manusia bagi menjalankan fungsi pentadbiran Universiti secara keseluruhan.

Apabila Universiti beroperasi secara rasmi dengan kemasukan kumpulan pertama pelajar pada tahun 2000, USIM masih belum menubuhkan sebuah unit yang khusus dalam melaksanakan fungsi perhubungan awam dan korporat. Diwujudkan dalam organisasi awal Jabatan Canselori pada ketika itu adalah sebuah unit yang dikenali Unit Perhubungan Korporat yang menjalankan tugas pentadbiran sahaja.

Pada bulan Februari 2002, Unit Perhubungan Awam telah mula ditubuhkan dan pada tahun yang sama Unit Perhubungan Korporat dan Antarabangsa turut diwujudkan bagi mengendalikan hal ehwal perhubungan antarabangsa dan korporat Universiti seperti MoU dan MoA. Selaras dengan perkembangan USIM yang telah memasuki 4 tahun penubuhan serta melihat kepada kepentingan kedua-dua unit ini untuk bergerak siiring, maka penstrukturan semula telah dibuat lalu diwujudkan Unit Perhubungan Korporat dan Antarabangsa (UPKA) pada pertengahan tahun 2003.

Sehingga bulan April 2007, UPKA melalui sekali lagi fasa penstrukturannya selari dengan status KUIM yang telah dinaiktaraf menjadi USIM bermula 1 Februari 2007. Jabatan baru yang dikenali Pusat Perkembangan Strategik dan Hubungan Korporat (PPSHK) masih menjadi sebahagian daripada entiti pentadbiran Jabatan Canselori seperti diawal penubuhannya dahulu.

PPSHK ini diketuai oleh seorang Pengarah dengan diwujudkan 3 sub unit dibawahnya iaitu Unit Perhubungan Awam, Unit Pengurusan Kualiti dan Biro Rundingan. Pada ketika itu juga seorang Pengarah Unit Perhubungan Awam juga ditempatkan di PPSHK sehingga Disember 2007.

Perkembangan dan fungsi jabatan ini sentiasa diberi penambahbaikan oleh Universiti supaya ianya sentiasa menjadi penghubung USIM yang berkesan. Selaras dengan penstrukturan semula Pengurusan Utama USIM dan fokus pembangunan Universiti yang disandarkan kepada Enam (6) KRA USIM seperti yang telah digariskan oleh Naib Canselor Kedua USIM iaitu YBhg. Professor Dato’ Dr. Muhamad Muda, PPSHK telah dipecahkan menjadi dua entiti berasingan iaitu Pusat Perancangan Korporat dan Pengurusan Kualiti dan Unit Komunikasi Korporat (UKK).

UKK terus berjaya menjalankan fungsinya dengan baik dan melihat peranannya boleh dikembangkan lagi, UKK dinaiktaraf menjadi sebuah Pusat Tanggungjawab dengan nama Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa atau ringkasannya BKKPA berkuatkuasa 1 Januari 2011 apabila turut bertanggungjawab perihal perhubungan antarabangsa Universiti.